SIBU – Empat wanita dan dua lelaki diselamatkan anggota bomba selepas terperangkap dalam kebakaran hotel di Lorong Emplam, Jalan Kampung Nyabor di sini pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kesemua mereka diselamatkan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral yang tiba di lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pukul 9.13 pagi.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian yang terletak satu kilometer dari balai bomba, pihaknya melihat kepulan asap dan api keluar dari tingkap bilik di tingkat satu hotel berkenaan.
“Terdapat mangsa yang tidak dapat keluar kerana laluan utama dipenuhi asap. Mereka berada di bahagian tepi tingkap beranda luar hotel. Pasukan bertindak menyelamat mangsa menggunakan tangga dan mereka tidak cedera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kebakaran dipercayai bermula dari sebuah bilik yang kemudiannya merebak ke bahagian kaunter kerana pintu rintangan api dibuka pekerja hotel semasa mengesan tempat kebakaran. – KOSMO! ONLINE