KUALA LUMPUR – Mengakui bercinta dengan lelaki Melayu, pelakon sedang meningkat naik, Daniella Sya, 35, tidak menolak memeluk agama Islam sekiranya itu sudah tertulis buat dirinya.
Kata Daniella atau nama sebenarnya Daniella Sya Yeng Yeng, disebabkan tuntutan kerjaya sebagai seorang pelakon, dia juga kian mendalami ajaran agama kedua terbesar dunia itu.
“Lelaki yang sedang saya kenali sekarang orang Malaysia dan berbangsa Melayu.
“Bukan datang dari golongan artis. Usia dia dalam 30-an begitu.
“Setakat ini, agama Islam yang paling kerap saya didedahkan. Juga, agama yang saya ‘explore’ (dalami) adalah Islam,” kata Daniella kepada Kosmo! Online usai majlis tayangan perdana drama terbitan Astro, Hijrah Jannah di Dadi Cinema, Pavilion, baru-baru ini.
Daniella yang merupakan anak jati kelahiran Kuala Lumpur memaklumkan, sedari kecil, dia tidak menganut apa-apa agama ataupun seorang free-thinker.
“Dari kecil, saya dilahirkan sebagai seorang free-thinker. Saya masih belajar dan mencari,” katanya.
Menjayakan watak seorang saudara baharu dalam drama rantaian Hijrah Jannah disamping aktor Remy Ishak, Daniella berkata, dia sangat selesa mengenakan tudung walaupun apa yang dipaparkan hanyalah tuntutan karakter semata-mata.
“Saya rasa selesa sangat berhijab sebab dah tak payah fikir pasal rambut. Tak payah sangat fikir tentang anything to do with styling (menggayakan sesuatu pakaian).
“Saya tak tahu tentang wanita lain tapi bagi saya secara peribadi, semasa berhijab saya rasa sangat selamat. Rasa tenang sangat,” ujarnya yang berbangsa Cina.
Hijrah Jannah merupakan drama rantaian arahan sutradara Feroz Kader yang turut dibintangi pelakon Puteri Sarah Liyana.
Drama tersebut memulakan tayangan perdana di Slot Tiara, Astro Ria bermula 5 Jun ini. – KOSMO! ONLINE