fbpx

Bekas komando menipu meringkuk dalam jel 4 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengiringi Rosdi (tengah) untuk didakwa di Mahkamah Majistret Pasir Mas hari ini atas dua pertuduhan menipu. - Foto oleh ROSALWANI CHE SOH/KOSMO!

PASIR MAS – Seorang bekas komando dihukum penjara selama empat tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu wang milik dua individu berjumlah RM17,500 awal tahun ini.

Tertuduh, Rosdi Ibrahim, 59, mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Rosdi didakwa menipu untuk membekalkan stok rokok sehingga menyebabkan Muhammad Syahran Amirul Azlan, 27, menyerahkan wang RM5,500 kepadanya.

Kesalahan dilakukan di sebuah kedai roti canai di depan stesen kereta api di Pasir Mas di sini pada 23 Januari lalu.

Berdasarkan fakta kes, mangsa didatangi tertuduh semasa berada di masjid di Kubang Bemban di sini yang menawarkan jualan rokok. Mangsa kemudiannya bertemu dengan Rosdi dan menyerahkan wang sebelum tertuduh menghilangkan diri.

Rosdi turut didakwa menipu wang RM12,000 milik Norizan Yusoff, 53, untuk mempercayai bahawa tertuduh mampu membekalkan kain, rokok dan mercun kepadanya di Pasar Tasek Raja di sini pada 6 Februari lalu.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Syafiq Aizat Nazri manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Rifzan Rosli.

Terdahulu, Rifzan Rosli memohon hukuman yang minimum kepada anak guamnya yang bekerja sebagai pemotong rumput selain lelaki itu perlu menanggung isteri dan sembilan anak.

Mahkamah menjatuhi hukuman tiga tahun penjara bermula hari ini bagi pertuduhan pertama manakala setahun untuk pertuduhan kedua selepas selesai hukuman pertama.

Mahkamah juga mengecualikan hukuman sebat mengikut Seksyen 289 (c) Kanun Prosedur Jenayah atas faktor usia tertuduh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI