PUTRAJAYA – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan berlaku rombakan jemaah Kabinet dalam waktu terdekat.
Beliau bagaimanapun, enggan mengulas lanjut apabila ditanya pemberita mengenai desas-desus perkara itu terjadi selepas berakhir enam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
“Kita tunggu kalau benar ada rombakan setelah PRN nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir merasmikan Majlis Kemuncak Minggu Latihan Nasional 2023, di sini hari ini.
Terdahulu, sebuah portal berita tempatan melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan ‘pembersihan’ termasuk rombakan menteri di dalam Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu didakwa bersedia menyingkirkan beberapa anggota Kabinet selain menukar portfolio segelintir menteri yang dianggap teruk atau gagal.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, Anwar secara umum berhak melakukan sebarang rombakan kerana ia hak mutlak sebagai ketua kerajaan.
“Namun kelazimannya, mana-mana individu yang menyandang jawatan Perdana Menteri tidak akan memberitahu isu ini ketika mesyuarat Kabinet,” katanya berseloroh. – KOSMO! ONLINE