KUALA KANGSAR – Lebih 300 pengamal media diraikan pada majlis santapan istimewa bersama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) di Istana Iskandariah di Bukit Chandan di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil serta Timbalannya, Teo Nie Ching; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. ketua-ketua pengarang, editor-editor dan ketua-ketua pegawai eksekutif media.
Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd., Mohamad Azlan Jaafar; Pengarang Utusan Malaysia, Aznan Bakar dan Pengarang Kosmo!, Wan Hasnan Wan Hasan turut menyertai majlis tersebut.
Sambutan Hawana 2023 bertemakan Media Bebas, Tunjang Demokrasi itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok kira-kira pukul 2 petang di Hotel Casuarina@Meru.
Penyampaian Anugerah Hawana 2023 dan program Penyampaian Kasih@Hawana juga bakal diadakan.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai sambutan Hawana sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 dan kali pertama ia diadakan pada 11 April 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE