fbpx

Saintis Jepun sasar hasilkan bayi dalam makmal 5 tahun lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hayashi percaya embrio bayi manusia akan dicipta lima tahun akan datang. - Getty.iStockphoto

TOKYO, Jepun – Pasukan saintis Jepun menyasarkan untuk menghasilkan bayi di dalam makmal secara sepenuhnya sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun lagi, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Teknologi tersebut termasuk menghasilkan sel telur dan sperma manusia yang dibiakkan di dalam rahim tiruan.

Mereka semakin hampir untuk mencipta sel sperma dan ovum di dalam makmal dan seterusnya menghasilkan embrio manusia dengan cara demikian.

Saintis dari Universiti Kyushu, Profesor Katsuhiko Hayashi berkata, beliau percaya bahawa pencapaian itu boleh dilakukan dalam masa lima tahun lagi selepas me­lakukannya pada tikus makmal.

Baru-baru ini, Hayashi dan pasukan saintisnya berjaya menghasilkan tujuh anak tikus dengan menggunakan sel kulit dua tikus dewasa jantan.

Keupayaan untuk menghasilkan sperma dan sel telur (ovum) manusia di dalam makmal dinamakan in vitro gametogenesis (IVG).

Teknologi itu menyaksikan penyelidik-penyelidik mengambil mana-mana sel daripada induk seperti sel darah atau kulit untuk menghasilkan sel stem atau sel teras baharu. Sel stem itu pula boleh membiak menjadi mana-mana sel lain termasuk sel sperma dan ovum.

Setakat ini, saintis-saintis berjaya menghasilkan sperma dan ovum menggunakan kaedah IVG tetapi gagal menghasilkan embrio buatan.

Hayashi bagaimanapun percaya beliau dan pasukannya memerlukan masa sehingga lima tahun lagi untuk menghasilkan embrio buatan, manakala teknologi itu memerlukan masa 10 hingga 20 tahun untuk di­sempurnakan.

“Dari sudut teknologi, ia boleh dilakukan (kepada manusia). Saya tidak tahu sama ada teknologi ini boleh digunakan untuk tujuan pembiakan. Ini bukan sekadar sains, ia bergantung kepada pe­nerimaan masyarakat,” katanya kepada The Guardian.

Perkembangan teknologi tersebut bermakna saintis-saintis boleh mencipta sperma dan sel telur tiruan untuk orang yang tidak subur dengan menggunakan sel darah mereka.

Di sebalik pencapaian itu, terdapat kebimbangan bahawa teknologi berkaitan menyalahi etika, undang-undang dan ke­selamatan melibatkan prosedur IVG.

Teknologi IVG membolehkan saintis mencuri asid deoksiribonukleik (DNA) orang lain menggunakan helaian rambut untuk menghasilkan bayi tanpa persetujuan mereka.

Ia juga membuka pintu kepada perlumbaan menghasilkan ‘manusia sempurna’ atau bayi ‘designer’.

Hayashi percaya bahawa prosedur IVG mampu menghasilkan bayi walaupun dengan menggunakan sel daripada dua orang bapa. Matlamat pasukannya adalah untuk meniru prosedur ke atas tikus makmal pada manusia. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI