fbpx

Sahabat Amal Care agih 1,000 lembu, kambing korban tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asma' Harun memberikan makanan kepada lembu-lembu yang terdapat di Ladang Ternak Ummah, Kuala Selangor. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

KUALA SELANGOR – Lebih 1,000 lembu dan kambing korban akan diagihkan kepada golongan asnaf, fakir dan miskin seluruh negara sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Menurut Penaung Sahabat Amal Care (SAC), Ustazah Asma’ Harun, pengagihan tersebut adalah menerusi projek dilaksanakan Ladang Ternak Ummah (LTU) bagi tahun ketiga selepas penubuhannya pada Oktober 2020.

“Proses agihan akan dijalankan selama tiga hari di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Semua urusan penyembelihan, melapah dan bungkusan daging korban akan dilakukan di ladang ini. Kemudiannya akan digerakkan melalui 10 kontena sejuk beku untuk pengagihan berkenaan,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri LTU di Kampung Sungai Yu di sini, hari ini.

Asma yang juga pendakwah bebas memaklumkan seramai 5,000 golongan asnaf, fakir dan miskin dijangka menerima agihan daging berkenaan.

Jelasnya lagi, pemberian agihan daging itu hasil daripada infak orang ramai yang melaksanakan ibadah korban melalui SAC.

Bagaimanapun, katanya, pendaftaran ibadah korban bersama SAC pada tahun ini sedikit menurun berbanding tahun lalu.

“Kita tahu ekonomi mencabar, malah orang ramai pula dilihat lebih cenderung melakukan ibadah korban di luar negara kerana harganya jauh lebih rendah.

“Namun, kami tetap perjuangkan pelaksanaan korban dalam negara kerana jumlah asnaf fakir dan miskin di negara ini semakin meningkat,” tegasnya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI