fbpx

LIMA’23: Teruja lihat aksi pasukan aerobatik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKSI pasukan Black Eagles dari Tentera Udara Republik Korea menarik perhatian pengunjung sepanjang LIMA’23.

Teruja apabila berpeluang melihat dunia aeroangkasa dan maritim dengan lebih dekat di LIMA’23 yang berlangsung selama lima hari dan berakhir hari ini.

Pameran bagi segmen maritim di Resorts World Langkawi (RWL) dibuka secara percuma kepada orang ramai sejak hari pertama pada 23 Mei lalu.

Sementara segmen aeroangkasa di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) mula dibuka kepada orang awam semalam.

Sebanyak 119 pesawat terlibat dalam pameran statik dan pertunjukan aerobatik di MIEC, manakala 40 kapal tentera dan agensi penguatkuasaan dari dalam dan luar negara bagi segmen maritim di RWL.

Tinjauan mendapati, orang ramai mula memenuhi dan beratur untuk memasuki kawasan tarmac bagi melihat pameran statik pesawat dan dewan pameran seawal pukul 6.45 pagi.

Rata-ratanya melahirkan rasa kagum dengan pertunjukan udara lima pasukan aerobatik iaitu Russian Knights dari Russia dengan pesawat tempur jenis Sukhoi SU-35SM dan SU-30.

Turut menjadi perhatian ialah Black Eagles dari Tentera Udara Republik Korea (ROKAF) yang menerbangkan pesawat jenis T50-B; August 1st dari Tentera Pembebasan Rakyat China dengan pesawat J-10C, Jupiter dari Tentara Nasional Indonesia (TNI) bersama pesawat KT-1B serta Al Fursan yang menggunakan pesawat jenis MB339 buatan Itali.

Seorang pengunjung, Nur Zafifah Md. Akhir, 44, dari Kelana Jaya, Selangor ketika ditemui melahirkan rasa teruja untuk melihat pesawat-pesawat pejuang dari negara luar yang membuat persembahan udara dan statik kerana ia merupakan kunjungan kali pertamanya ke LIMA’23.

“Biasanya kalau nak melihat pesawat secara dekat hanya boleh dibuat pada Hari Terbuka TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) tetapi hari ini (semalam) dapat tengok pesawat aerobatik dari negara lain.

“Lebih-lebih lagi dapat lihat dan berjumpa terus dengan juruterbang Black Eagles yang sudah tular, jadi rasa semua yang saya bayangkan untuk hari ini sudah menjadi kenyataan,” katanya.

Seorang bekas juruterbang TUDM, Mejar (B) Mad Zain Salihin, 67, berkata, dia yang datang dari Meru, Klang, tidak pernah melepaskan peluang untuk berkunjung ke LIMA bersama keluarganya walaupun telah bersara awal pada tahun 1988.

“Selepas bersara daripada TUDM saya bekerja sebagai juruterbang komersial dan sentiasa mengambil cuti setiap kali penganjuran LIMA kerana hendak melihat pertunjukan aerobatik.

“Saya memang sangat berminat untuk melihat pertunjukan ini kerana saya pernah menerbangkan Pilatus PC-7MKII bagi pertunjukan aerobatik untuk acara seperti sambutan kemerdekaan,” ujarnya.

Selain itu, seorang pengunjung dari Taping, Perak, Raja Zarina Raja Ahmad Kamar, 41, berkata, ini kali kedua dia berkunjung ke Langkawi untuk menyaksikan pertunjukan udara, namun kali pertama masuk ke dalam kawasan pusat pameran.

“Saya ada ambil beberapa video aksi pertunjukan untuk ditunjukkan kepada para pelajar.

“Dalam video itu saya turut kongsikan mengenai prinsip Bernoulli, yang menunjukkan kelakuan sesuatu bendalir pada keadaan aliran dan ketinggian yang berubah-ubah,” ujarnya.

Pelajar, Nur Saffa Hani Sahazad, 12, berkata, pertunjukan udara oleh pasukan aerobatik dari UAE sangat mengujakan kerana aksi menarik yang ditampilkan.

“Memang seronok bila tengok depan mata jet beraksi dengan bunyi deruman yang kuat.

“Paling teruja apabila tengok pasukan aerobatik dari UAE kerana aksi aerobatik menarik dengan asap berwarna-warni,” katanya dari Teriang, Langkawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI