fbpx

Malaysia Masters: Kebangkitan dramatik bantu kemenangan Pearly-Thinaah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah meraikan kemenangan selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Jeong Na Eun dan Kim Hye Jeong pada Kejohanan Badminton Perodua Malaysia Masters 2023, di Stadium Axiata Arena , di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah menampilkan aksi magis apabila bangkit mencatat kemenangan ke atas wakil Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters sebentar tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, beregu No.11 dunia itu terpaksa bermandi peluh sebelum mencatat kemenangan straight set 21-19, 23-21 dalam tempoh 1 jam 33 minit.

Pearly-Thinaah memulakan kedua-dua set dengan agak goyah apabila ketinggalan menerusi jurang mata cukup besar sebelum bangkit mengejar dan memastikan tempat ke perlawanan akhir esok.

“Saya tidak fikir sangat kerana ia sukar dan meletihkan tetapi semua penyokong berikan motivasi kepada kami. Ketinggalan jauh di set kedua, saya dan Thinaah hanya mahu nikmati permainan dan bermain lebih sabar.

“Ternyata strategi itu berkesan kerana kami turut gunakannya ketika bangkit di set pertama. Setiap kejohanan pun kita mahukan juara tetapi kali ini lebih bermakna kerana bermain di laman sendiri,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Pearly-Thinaah ketinggalan 6-11 di set pertama manakala set kedua menyaksikan mereka turut ketinggalan 2-12 sebelum kembali memperkemaskan permainan dan bangkit memenangi kedua-dua set tersebut.

Mengulas aksi final bertemu satu lagi beregu Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee esok, Pearly berkata, mereka akan bermula dari kosong meskipun pernah menewaskan gandingan itu pada Terbuka Perancis Oktober tahun lalu.

“Seperti biasa kami tidak fikir pasal lawan, hanya lakukan tugas masing-masing dan bermain baik. Kami menang dengan mereka tahun lepas tetapi ketika itu mereka baru digandingkan, jadi sekarang mungkin lebih sukar,” ujarnya.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia melayakkan diri ke perlawanan akhir Malaysia Masters dalam acara beregu wanita adalah menerusi gandingan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui pada edisi 2012. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI