PERBEZAAN haluan menjadi punca pihak pengurusan Perak FC membuat keputusan drastik memecat Datuk Lim Teong Kim daripada jawatan ketua jurulatih pasukan berkenaan.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata, sebagai entiti perniagaan, pertimbangan yang dibuat pastinya berbeza berbanding cara lama.
“Keputusan dibuat dua hari lalu selepas mesyuarat dengan Ahli Lembaga Pengarah dan Exco Perak FC yang memakan masa dua jam setengah. Ahli Lembaga Pengarah ada lima orang, Exco ada tujuh lapan orang dan semuanya beri hujah termasuk ada yang pertahankan Teong Kim.
“Kita berpendapat mungkin Lim Teong Kim tidak sehaluan dengan kita. Kita kena ingat bahawa kita lihat (Perak FC) sebagai satu perniagaan, bukan macam dahulu di bawah PAFA. Pasukan ini dimiliki syarikat (XOX) yang tersenarai di bursa saham.
“Semua ini kita ambil kira dan jika ia perniagaan, pertimbangannya juga agak berlainan. Kita kena lihat sama ada ia akan jejaskan nama syarikat, jejaskan keuntungan syarikat atau pun jejaskan reputasi syarikat.
“Kita tengok banyak aspek, namun yang penting adalah perniagaan kita kerana tanpa perniagaan, kita tidak dapat duit untuk pemain dan buat bayaran lain. Jadi, kalau tidak sehaluan dengan kami, susahlah,” katanya.
Dalam kenyataan kelmarin, Perak FC mengumumkan Yusri Che Lah akan mengambil alih tugas sebagai jurulatih sementara.
Dalam masa sama, Abdul Azim menjelaskan perbincangan bersama Teong Kim sudah pun dibuat beberapa kali.
“Tidak adalah ‘kata dua’, tetapi saya sendiri sudah jumpa dia beberapa kali, duduk berbincang dan mohon dia lihat balik pasukan. Kita bincang, tengok data, statistik dan semua benda, tetapi percayalah untuk buat keputusan ini bukan mudah,” katanya.