KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek kebangsaan, Datuk Azizulhasni Awang terus melakar kejayaan pada Kejohanan Piala Trek Antarabangsa Hong Kong II apabila sekali lagi merangkul pingat emas acara keirin lelaki sebentar tadi.
Pada aksi final yang berlangsung di Velodrom Hong Kong, atlet berusia 35 tahun itu berada dalam kelas tersendiri apabila mengenepikan cabaran pelumba Kazakhstan, Sergey Ponomaryov dengan pingat perak manakala gangsa menjadi milik seorang lagi pelumba Malaysia, Mohd. Akmal Nazimi Jusena.
Lebih manis, ini merupakan pingat emas ketiga diraih anak kelahiran Dungun, Terengganu itu di bumi Hong Kong selepas turut merangkul dua pingat emas dalam acara keirin dan pecut semalam.
Sementara itu, dalam acara pecut wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri berjaya meraih gangsa selepas mengenepikan cabaran pelumba Korea Selatan, Park Jihae pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.
Dalam pada itu, pelumba muda negara, Amber Yong mengikut jejak langkah Azizulhasni apabila cemerlang merangkul pingat emas dalam acara pecut remaja wanita, menewaskan Valencia Tan dari Singapura yang memenangi perak manakala gangsa menjadi milik pelumba Taiwan, Lin Jhih Yan. – KOSMO! ONLINE