SHAH ALAM – Seorang lelaki maut manakala adiknya terselamat selepas kenderaan mewah jenis BMW dinaiki mereka terbabas melanggar pembahagi jalan di Kilometer 34 Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), awal pagi tadi.
Mangsa dikenali R. Humanathan,37, yang parah maut di lokasi kejadian sementara terselamat dikenali R. Hamanathan,35,.
Timbalan Pengarah Bomba Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, seramai lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 5.06 pagi.
Katanya, berdasarkan maklumat awal kedua-dua beradik menaiki kereta jenis BMW terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di lebuh raya tersebut.
“Akibat kemalangan itu, seorang mangsa terperangkap di bahagian penumpang hadapan dan dikeluarkan oleh anggota bomba. Mangsa mengalami cedera parah disahkan meninggal dunia pasukan perubatan Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, adik mangsa tidak mengalami kecederaan telah bertindak keluar sendiri sebelum anggota bomba tiba di lokasi kejadian.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. -KOSMO!ONLINE