SEGAMAT – Tiga maut, manakala seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 172.2 Johor Bahru ke Seremban berhampiran persimpangan Kampung Kwongsai Jalan Segamat Labis, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mazuki Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 6.24 petang.
“Kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Mercedes Benz dan Toyota Sienta. Mereka yang maut akibat rentung dan terperangkap adalah Hoo Kok Yong, 35, Wong Chee Choy, 62, sementara Lee Lam Chai,67 cedera parah.
“Kesemuanya berada dalam kenderaan Mercedes Benz yang sama telah terbakar 70 peratus. Turut maut adalah Chong Jui Chat, 67, yang memandu kereta jenis Toyota Sienta yang terbabas ke dalam gaung sedalam lima meter,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mazuki berkata, sepasukan 10 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru dikejarkan ke lokasi kejadian dan kes diserahkan kepada pihak polis, manakala mayat mangsa di hantar ke Jabatan Forensik Hospital Segamat (HDS). – KOSMO! ONLINE