PETALING JAYA – Seorang pelanggan terkejut apabila menyedari terdapat beberapa ekor ulat sampah di dalam botol kicap di sebuah restoran, di Sabah.
Menerusi perkongsian pelanggan itu di Facebook baru-baru ini, dia terkejut apabila melihat ulat tersebut masih hidup dan bergerak-gerak di dalam botol kicap terbabit.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku pada 20 Mei lalu.
“Saya nak cerita tentang satu benda yang memang buat kau fikir dua hingga tiga kali sebelum pergi makan. Kita nak kongsi tentang maggot (ulat sampah) dalam kicap.
“Kau duduk dekat restoran pilihan kau. Teruja nak makan yang kau suka tapi lepas kau makan, ternampak satu benda bergerak dekat sudut mata kau. Bukan benda khayalan tetapi maggot yang menggeliat dalam kicap kau makan itu,” tulisnya dalam satu hantaran.
Kemudian, tambahnya, dia segera membuat aduan kepada kakitangan restoran terbabit dan meminta untuk memeriksa keadaan setiap botol kicap.
“Apabila minta ‘supervisor'(penyelia) periksa orang lain punya kicap, dia cakap botol lain ‘okay’. Tetapi tak pergi tengok langsung, dia tak endahkan macam tak ada apa-apa dan tinggalkan meja macam itu sahaja.
“Selepas panggil balik, dia bagi bil suruh bayar dekat depan. Kami suruh dia panggil pengurus tetapi katanya tak ada,” terangnya.
Kurang senang dengan respons yang diberikan pihak pengurusan restoran berkenaan, pelanggan tersebut ‘mengugut’ akan membawa perkara ini ke peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.
Di akhir ceritanya, pelanggan itu memberitahu dia mengalami cirit-birit pada malam kejadian dan keesokkan harinya pihak pengurusan restoran tersebut menghubunginya serta membuat permohonan maaf.
“Baru tahu merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) botol kicap itu akan dicuci dan ditukar dua kali seminggu sahaja. Jadi kemungkinan besar untuk lalat hinggap dan bertelur,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE