PASUKAN Tobaki Pink Racing memasang impian mengutip mata berharga pada perlumbaan Pusingan Ketiga Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Jasin, Melaka bermula esok hingga Ahad ini.
Pemilik Pink Racing, Nur Atikah Azwar mengakui selepas saingan Cub Prix berehat lebih dua bulan, tidak banyak perubahan dibuat selain perbaiki teknikal jentera.
Kata Nur Atikah, cabaran sebenar pasukan adalah mengulangi magis pada perlumbaan pusingan pertama di Litar Antarabangsa Sepang dengan meraih mata berharga buat pasukan.
“Di Sepang, kita berjaya tamatkan saingan di kedudukan ke-10 tapi momentum sama gagal dilakukan pada perlumbaan kedua.
“Pada saingan di Jempol, Negeri Sembilan, kita gagal kutip sebarang mata dan saya harap tuah memihak kepada pasukan pada perlumbaan ketiga di Jasin.
“Tak banyak perubahan yang kita lakukan selain daripada pertukaran pelumba bagi kategori CP150.
“Saya harap sebarang kelemahan khususnya dari aspek teknikal sebelum ini telah diperbaiki dengan kondisi jentera berada pada tahap optimum,” katanya.
Mengulas lanjut, Nur Atikah percaya peluang untuk semua pasukan mencipta kejutan agak cerah kerana ini perlumbaan pertama di Jasin bagi saingan Cub Prix sejak 2018.
“Saya difahamkan ini kali pertama saingan kembali dianjurkan di Jasin dalam tempoh lima tahun. Saya pasti semua pelumba akan memberikan yang terbaik meskipun perlukan masa untuk sesuaikan diri dengan keadaan litar di sana nanti,” katanya.