PUTRAJAYA- Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan tiada logo UMNO atau DAP akan tertera dalam kertas undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut Ahli Parlimen Pontian itu, setakat yang diputuskan ketika ini hanya logo dua kumpulan parti terbesar iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan digunakan bagi menentang Perikatan Nasional (PN).
“Apabila kita berada dalam satu pasukan, kita kena tolong-menolong, bendera DAP atau logo DAP tak akan ada dalam kertas undi, bendera UMNO pun tiada, yang ada adalah logo-logo PH dan BN. Itulah hakikat yang ada dalam politik PRN kali ini.
“Itu sebab saya pelik kenapa kenyataan diputar belit sedemikian rupa sehingga berlaku polemik yang amat hebat di luar sana sampai saya dikafirkan.
“Jadi, saya ingin memberikan kefahaman kepada pengundi bahawa tiada logo UMNO atau DAP dalam PRN kerana kita bertanding berkumpulan dalam kerajaan Perpaduan merangkumi 19 parti dengan lima parti utama iaitu BN, PH, GPS, GRS dan Warisan,” katanya menerusi sidang media selepas Majlis Pelancaran Dokumen Piawaian Pelaburan Mampan (SIS), di sini hari ini.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan I itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan ahli MKT, Isham Jalil bahawa sokongan kepada parti itu akan terhakis jika pemimpinnya terus membuat desakan melampau yang mahukan ahli mengundi calon DAP pada PRN. – KOSMO! ONLINE