TUMPAT – Kegiatan seorang tekong darat yang membawa seramai 18 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk lima wanita terbongkar selepas sebuah van yang dipandunya ditahan di depan sebuah sekolah di Jalan Bunut Sarang Burung di sini semalam.
Suspek dan kesemua PATI itu diberkas kira-kira pukul 7.15 malam semasa anggota Batalion 9, Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, anggota PGA melihat sebuah van jenis Nissan Vanette dinaiki dua lelaki berada dalam keadaan mencurigakan di belakang di Neting di sini menghala ke Jalan Pak Keral.
Menurutnya, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat yang turut menbantu operasi itu kemudiannya berjaya menahan kenderaan terbabit di depan sebuah sekolah di Jalan Bunut Sarang Burung.
“Semasa van itu berhenti, dua lelaki keluar dan cuba melarikan diri. Salah seorang daripada mereka berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan manakala seorang lagi melarikan diri ke kawasan hutan.
“Pemeriksaan di bahagian belakang van tersebut menemui seramai 18 orang PATI warga Myanmar termasuk lima wanita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, kesemua PATI itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah untuk masuk ke negara ini.
Menurutnya, mereka dipercayai masuk ke negara ini dari Thailand menggunakan laluan yang tidak sah.
“Kesemua PATI dan van yang dipandu tekong darat itu dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu di sini untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26 A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE