SEBERANG PERAI – Tindakan seorang pemilik kedai runcit yang sanggup menyembunyikan hampir 1.6 tan minyak masak peket bersubsidi satu kilogram (kg) di dalam rumahnya, akhirnya memakan diri apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, semalam.
Selain KPDN negeri, serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 1.50 tengah hari di Taman Seri Tambun, Simpang Ampat itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang.
Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, serbuan itu dibuat hasil soal siasat yang dijalankan terhadap peruncit terbabit iaitu seorang lelaki warga tempatan yang berusia lingkungan 50-an.
“Sebelum serbuan dijalankan, kita (KPDN) telah menghantar pegawai penguat kuasa yang berpakaian preman untuk membuat penyamaran dengan cuba membeli minyak masak peket di kedai runcit tersebut.
“Bagaimanapun, pemilik kedai runcit itu memaklumkan stok minyak masak peket di kedainya sudah lama tiada,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Stor Penyimpanan Eksibit KPDN negeri, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Jegan berkata, susulan dakwaan peruncit tersebut, pihaknya kemudian menjalankan siasatan lanjut sebelum mengesan stok minyak masak peket yang disimpan dalam kuantiti yang banyak di sebuah rumah tidak jauh dari kedai berkenaan.
“Ketika serbuan dijalankan, kami berjaya menemui kira-kira 1,557kg minyak masak peket terbabit yang disorokkan di satu tempat di bahagian ruang tamu rumah itu,” jelasnya yang memberitahu, nilai rampasan barang kawalan itu secara keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM3,892.50.
Tambah Jegan, pemeriksaan lanjut mendapati, pemilik kedai runcit itu sebenarnya mempunyai permit barang kawalan berjadual, namun hanya dibenarkan menyimpan minyak masak peket sebanyak 500kg sahaja pada satu-satu masa. – KOSMO! ONLINE