SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 3,000 jemaah di Masjid An Naim, Kampung Jalan Kebun, di sini, hari ini.
Beliau yang hadir kira-kira pukul 1.15 tengah hari turut bersama jemaah mendengar khutbah bertajuk ‘Kesucian Kalimah Allah Yang Maha Agung’ yang disampaikan Imam Mohd. Hafiz Hussain.
Selesai solat Jumaat yang diimamkan Mohd. Hafiz, didapati Anwar meluangkan masa beramah mesra dengan jemaah dan makan tengah hari di masjid tersebut.
Sementara itu, seorang remaja kampung itu, Muhammad Najmi Zainal,15, berkata, dia amat teruja apabila dapat bersemuka dan bersolat secara jemaah dengan pemimpin negara.
Katanya, tradisi dibuat Perdana Menteri (PM) itu setiap hari Jumaat membuatkan pemimpin nombor satu dekat di hati rakyat.
“Tidak sangka PM datang kampung dan bersolat jumaat dengan dapat melihatnya secara dekat.
“Ini (pendekatan bersolat jemaah bersama penduduk) memberikan impak positif bahawa beliau pemimpin senang didekati rakyat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE