fbpx

Pesara rugi RM80,000 duit simpanan kena kebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MUAR – Seorang pesara warga emas kerugian RM80,000 selepas sindiket penipuan yang menyamar sebagai syarikat kurier penghantaran barang memperdaya mangsa bahawa telah menghantar barangan tertentu pada Mac lalu, di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, pada 27 Mac lalu, mangsa menerima panggilan daripada individu memaklumkan terdapat bungkusan dikirim pengadu kepada seseorang tidak dikenali.

“Sindiket terbabit memperkenalkan diri daripada syarikat kurier penghantaran barangan dan memaklumkan bungkusan tersebut mengandungi kad pengenalan serta pasport, namun mangsa berusia 61 tahun itu menafikannya.

“Panggilan itu kemudian disambung kepada beberapa ‘pegawai polis’ dan mengarahkan pengadu supaya mengeluarkan semua wang simpanannya.

“Mangsa kemudian melakukan beberapa transaksi sejak 27 Mac hingga 22 Mei dengan jumlah keseluruhan RM80,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, mangsa menyedari ditipu selepas cuba menghubungi ‘pegawai polis’ berkenaan semula untuk menyemak status siasatan seperti didakwa, namun panggilan tidak dijawab.

Raiz Mukhliz berkata, pengadu berasa curiga sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada 22 Mei untuk tindakan lanjut.

“Walaupun pelbagai usaha kempen dijalankan terutama di daerah ini, namun masih ada individu masih percaya dan melayan sindiket seperti ini.

“Susulan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai tidak mudah percaya dan jangan melayan panggilan telefon tidak dikenali. Tak kenal, jangan layan,”katanya.

Ujarnya lagi, tindakan dan usaha licik sindiket penipuan ini mencari mangsa perlu dihindari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI