fbpx

Percaturan taktikal Steinbruckner julang Sang Penyu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ENGKU NUR SHAKIR melompat meraikan jaringannya ketika TFC menewaskan Penang FC 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak kelmarin. – PUQTRA HAIRRY

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner lega percaturan taktikal pada babak kedua berhasil dengan kemenangan 1-0 ke atas Penang FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak kelmarin.

Jurulatih kelahiran Croatia itu berkata, kemasukan Nik Sharif Haseefy Nik Lazim dan Engku Nur Shakir Engku Yaacob berjaya mengubah corak permainan lebih agresif selepas aksi hambar pada babak pertama.

Menurut Steinbruckner, impak dua pemain itu memberi tuah kepada Sang Penyu apabila Engku Nur Shakir menyelamatkan maruah TFC dengan jaringan tunggal perlawanan pada minit ke-75.

“Sebelum perlawanan lagi saya telah tekankan bahawa semua pemain perlu menyuntik dimensi dalam permainan termasuk dari bangku simpanan dan malam ini (kelmarin) saya melihatnya berjaya.

“Nik Sharif menunjukkan rentak agresif dengan larian deras dari sebelah tepi selain memiliki dua atau tiga peluang terbaik yang dinafikan penjaga gol lawan,” katanya selepas perlawanan kelmarin.

Pada aksi tersebut, TFC dipaksa bermandi peluh sebelum lorongan Sony Norde berjaya di­sudahkan dengan baik oleh Engku Nur Shakir untuk gol tunggal perlawanan.

Kemenangan tipis itu me­nyaksikan Sang Penyu kembali ke zon pertengahan liga di tempat ketujuh dengan mengumpul 17 mata daripada 12 perlawanan, dua mata di belakang KL City FC.

Sehubungan itu, Steinbruckner berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan oleh Nik Sharif dan Engku Nur Shakir walaupun mereka dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua.

“Ia juga memberi keyakinan untuk menghadapi aksi kalah mati suku akhir Piala FA, Sabtu ini.

“Secara keseluruhan, saya lihat TFC berhak mengalahkan Penang FC selepas menguasai permainan. Walaupun gagal menambah kelebihan jaringan, saya gembira dengan keputusan ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI