fbpx

Pemborong utama dilantik jadi pengantara bekalan gula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KPDN Pulau Pinang melantik lima pemborong utama di negeri ini bagi memastikan krisis bekalan gula tidak berlarutan.

SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang mengambil inisiatif dengan melantik lima pemborong utama di setiap daerah negeri ini bagi memastikan krisis bekalan gula tidak berpanjangan.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, kelima-lima pemborong terbabit akan bertindak sebagai pengantara antara KPDN negeri dan peruncit agar masalah bekalan gula dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Dalam hal ini katanya, pemborong yang dilantik juga akan mendapat sehingga 30 peratus gula tambahan daripada pengilang di bawah pelan tindakan ‘Dedicated Direct Wholesaler’ (DDW) yang dilancarkan semalam.

Jegan berkata, di bawah pelan yang sama juga, seramai lapan orang peruncit yang menghubungi pejabat KPDN negeri untuk mendapatkan bekalan gula daripada pemborong yang dilantik telah dibantu setakat ini.

“Peruncit-peruncit yang menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan gula perlu menghubungi talian pejabat 04-3840154/155/158 dan seterusnya unit bekalan akan memaklumkan di mana dan cara mereka boleh mendapatkannya daripada pemborong dilantik.

“Buat masa ini, pemborong dilantik hanya akan menjual gula kepada peruncit dengan arahan KPDN negeri sahaja dan pelanggan baharu yang datang secara ‘walk-in’ atau bersemuka tidak akan dapat membeli gula sebagai langkah kawalan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau memberitahu, dengan langkah yang dilaksanakan itu, pihaknya berharap agar pengguna dapat memperoleh bekalan asas tersebut di mana-mana kawasan yang terjejas khususnya di Pulau Pinang.

Ketika ini, jumlah pengedaran gula satu kilogram (kg) di negeri ini adalah sebanyak 628.4 metrik tan dengan daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan Seberang Perai Tengah (SPT) menerima edaran tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 378.2 metrik tan.

Ini diikuti oleh daerah Timur Laut dan Barat Daya iaitu masing-masing menerima edaran sebanyak 174.7 metrik tan manakala daerah Seberang Perai Utara (SPU) pula menerima edaran terendah iaitu dengan 75.5 metrik tan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI