fbpx

Nilai seunit eksport, import menyusut 0.5 peratus, 0.8 peratus pada April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Nilai seunit eksport dan import negara menyusut masing-masing pada 0.5 peratus dan 0.8 peratus pada April lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini berkata, penurunan harga eksport itu berbanding 142.6 mata pada bulan sebelumnya kepada 141.9 mata manakala seunit import menyusut daripada 129.2 mata kepada 128.2 mata.

Berikutan itu katanya, terma perdagangan Malaysia menunjukkan kenaikan 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 110.7 mata pada April lalu, sebagaimana dipaparkan oleh Laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri (2010=100), pada hari ini.

Ujarnya, penerbitan ini memaparkan statistik indeks nilai seunit dan indeks volum mengikut seksyen bagi eksport dan import barangan.

“Indeks nilai seunit eksport menurun 0.5 peratus pada April lalu berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (-4.3 peratus), barang-barang keluaran kilang (-0.3 peratus) dan minyak, lemak binatang dan sayur-sayuran (-0.3 peratus).

“Selain itu, indeks volum eksport merosot 18.3 peratus pada bulan yang sama, selaras dengan penurunan indeks pelbagai barang keluaran kilang (-29.3 peratus), minyak galian (-16.6 peratus) dan alat jentera serta kelengkapan pengangkutan (-16.2 peratus).

“Indeks volum eksport pelarasan bermusim merosot 17.2 peratus daripada 165.1 mata kepada 136.6 mata. Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit eksport menyusut 0.8 peratus, manakala indeks volum merosot 16.7 peratus.” katanya, di sini.

Jelasnya, indeks nilai seunit import turut menurun pada April lalu dengan 0.8 peratus, disumbangkan oleh kejatuhan indeks alat jentera, kelengkapan pengangkutan (-2.5 peratus), bahan kimia (-0.3 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (-0.1 peratus).

“Indeks volum import pula menunjukkan penyusutan 9.4 peratus pada April lalu berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh penurunan indeks pelbagai barang keluaran kilang (-19.2 peratus), barang-barang keluaran kilang (-9.7 peratus) dan alat jentera serta kelengkapan pengangkutan (-8.1 peratus).

“Indeks volum import pelarasan bermusim menyusut 10.3 peratus daripada 175.6 mata kepada 157.5 mata. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import jatuh 0.6 peratus, manakala indeks volum merosot 10.4 peratus,” ujarnya.

DOSM turut melaporkan terma perdagangan Malaysia meningkat 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 110.7 mata pada April lalu, didorong oleh kenaikan indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+3.9 peratus), bahan mentah tidak boleh dimakan (+1.3 peratus) dan makanan (+0.3 peratus).

“Terma perdagangan Malaysia menyusut 0.2 peratus tahun ke tahun daripada 110.9 mata pada April tahun lalu,” jelasnya.

Tambahnya, DOSM sedang menjalankan banci ekonomi pada tahun ini dan amat menghargai kerjasama daripada responden untuk memberikan maklumat bagi menjayakan banci itu dengan melayari www.dosm.gov.my untuk maklumat lanjut.

“DOSM telah melancarkan OpenDOSM NextGen sebagai medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data.

“OpenDOSM NextGen ialah platform perkongsian data sumber terbuka dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI