BERA – Kesempitan hidup ditanggung ibu tunggal bersama tiga anaknya yang ditinggalkan di balai polis mendapat perhatian kerajaan negeri sebelum mereka dipindahkan ke kediaman baharu yang lebih selesa.
Pemindahan empat beranak itu ke rumah sewa itu dibuat selepas mereka menerima kunjungan daripada Pengerusi Jawatan Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan semalam.
“Saya bersyukur kerana ada pihak yang prihatin dengan nasib kami. Dari bilik sewa yang terpaksa berkongsi dapur dan bilik air, sekarang kami tinggal di rumah yang lebih selesa.
“Saya cuma mahukan yang terbaik untuk anak-anak,” kata wanita itu kepada Kosmo!.
Menurutnya, walaupun masih perlu membayar sewa rumah, namun bayarannya jauh lebih rendah selain persekitaran yang lebih baik untuk anak-anaknya.
Sementara itu, Sabariah berkata, langkah tersebut dibuat kerana persekitaran yang tidak sesuai untuk pembesaran anak-anak.
“Jika sekarang dia menyewa bilik RM400 sebulan, sekarang dia dapat menyewa pada kadar lebih rendah dengan persekitaran baik tanpa perlu berkongsi dengan orang lain,” ujarnya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan luluh hati seorang ibu apabila mengetahui tindakan bekas suaminya yang didakwa tergamak meninggalkan dan menghantar anak-anak mereka yang masih kecil ke balai polis kerana tidak sanggup menjaga mereka.
Kejadian berlaku pada Februari lalu apabila tiga beradik berusia enam, tujuh dan 11 tahun itu ditinggalkan di rumah adik beradik bapanya di ibu negara sebelum dihantar ke sebuah ibu pejabat polis daerah di Pahang.
Wanita itu mendakwa dia berpisah dengan suaminya sejak 2019 dan kini memikul tanggungjawab untuk membesarkan seorang anak lelaki dan dua anak perempuan.
Nasib malang tiga anaknya itu terbongkar selepas dia dihubungi polis yang memintanya datang mengambil anak-anaknya.