fbpx

Mahkamah: Syamsul berjaya peroleh perintah injunksi kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Puteri Sarah dan Syamsul

SHAH ALAM – Pengarah filem, Syamsul Yusof berjaya mendapatkan perintah injunksi lanjutan terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Perintah injunksi lanjutan itu merupakan injunksi kedua yang dimohon oleh Syamsul yang mana permohonan itu dibuat secara ex parte (sebelah pihak).

Semalam Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah menolak permohonan Syamsul untuk melanjutkan injunksi pertama yang diperolehi pada 27 April lalu yang akan tamat pada esok (27 Mei).

Terdahulu pada prosiding hari ini di hadapan hakim sama, Syamsul hadir diwakili peguam-peguam syarie, Azmi Mohd. Rais dan Norrulnadiya Mohd. Saref.

Berdasarkan perintah baharu injunksi itu Puteri Sarah dihalang, dilarang dan ditegah sama sekali untuk memuat naik, mengeluarkan, menulis, menerbit, menyebarkan, menghebahkan atau menyalurkan sebarang keterangan berhubung kes cerai dan nusyuz pasangan itu dalam apa jua bentuk dan medium.

Perintah tersebut berkuat kuasa dari hari ini sehingga 8 Jun ini.

Pada 8 Jun itu, mahkamah akan mendengar permohonan injunksi secara inter parte (kedua-dua belah pihak).

Semalam Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur dimaklumkan tiada ruang untuk Syamsul dan Puteri Sarah untuk berdamai dalam kemelut rumah tangga mereka.

Sebelum ini pada 24 Mac lalu, selepas proses JKP berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, mengatakan proses itu gagal menemui jalan penyelesaian.

Aktres itu berkata, tiada perkara yang perlu dirunding atau dibincangkan lagi memandangkan hatinya telah tertutup untuk berdamai selepas nekad mahu bercerai.

Antara alasan dikemukakan Puteri Sarah selaku plaintif untuk bercerai ialah sudah tiada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, pula selaku defendan sebelum ini memaklumkan enggan menceraikan isteri pertamanya kerana yakin rumah tangga mereka boleh diselamatkan, selain masih menyimpan perasaan sayang terhadap Puteri Sarah.

Pada 18 April lalu, saman terhadap Ira Kazar dan pengurangan jumlah tuntutan nafkah anak antara yang menjadi penghalang kepada penceraian di antara Puteri Sarah dan suaminya pengarah, Syamsul Yusof.

Pasangan itu sepatutnya merekodkan persetujuan penyelesaian yang dikatakan telah dicapai dalam satu pertemuan yang mana Syamsul juga akan melafazkan talak terhadap Puteri Sarah pada hari tarikh tersebut.

Puteri Sarah memfailkan cerai terhadap Syamsul mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Untuk rekod Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4,. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI