TUMPAT – Seorang lelaki ditemui lemas di Sungai Kelantan dekat Pasir Pekan Tengah di sini selepas dipercayai melarikan diri semasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyerbu kawasan tersebut kelmarin.
Mayat mangsa yang lengkap berpakaian itu ditemui oleh orang awam sebelum memaklumkan kepada pihak polis kira-kira pukul 3.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai melarikan diri semasa serbuan APMM di tebing Sungai Kelantan berhampiran Kampung Pasir Pekan Tengah kelmarin.
Menurutnya, semasa anggota polis tiba di lokasi kejadian, mayat mangsa berada dalam keadaan terapung di sungai berkenaan.
“Mayat tersebut dibawa ke darat oleh pasukan bomba agar ia tidak terus hanyut dibawa arus sungai.
“Pemeriksaan awal mendapati, mayat tersebut sudah membengkak dan berbau. Tiada sebarang kesan luka dijumpai pada tubuh badan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amran memberitahu, hasil bedah siasat mengesahkan bahawa punca kematian disebabkan oleh lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE