KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang membolot dua pingat emas dalam acara pecut dan keirin pada Piala Trek Antarabangsa Hong Kong kelas satu hari ini.
Kejayaan berganda itu membuktikan kayuhan The Pocket Rocketman masih berbisa dan tidak keterlaluan mengatakan semakin menghampiri tahap terbaiknya walaupun sudah berusia 35 tahun.
Malah, pencapaian tersebut seakan-akan memberikan semangat tambahan buat bekas juara dunia itu untuk memastikan tempatnya terjamin ke Sukan Olimpik Paris 2024 walaupun pernah mengalami masalah jantung tahun lalu.
Olimpian negara dari Dungun, Terengganu itu memulakan hari cemerlangnya dengan menjuarai acara pecut selepas menewaskan pelumba China, Kang Shing Feng pada aksi yang berlangsung di Velodrom Hong Kong.
Tempat ketiga acara pecut itu menjadi milik seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom selepas menewaskan Kang Seojun dari Korea Selatan pada penentuan tempat ketiga dan keempat.
Tidak lama kemudian, Azizulhasni meneruskan kehebatannya dengan memenangi pingat emas acara kegemarannya, keirin.
Lebih manis, kejayaan Azizul turut diiringi kemenangan pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri yang mengungguli acara pecut selepas menewaskan wakil Korea Selatan, Park Jihae.
Kecemerlangan Izzah tidak terhenti di situ apabila pelumba dari Kedah itu berjaya memenangi pingat perak untuk acara keirin.
Skuad berbasikal negara terus ceria apabila seorang lagi pelumba, Amber Yong berjaya memenangi pingat emas bagi kategori keirin remaja wanita. – KOSMO! ONLINE