PETALING JAYA – Seorang bapa meluahkan rasa kecewa apabila anaknya yang masih berusia dua tahun hampir dihalau keluar oleh kapten sebuah pesawat ketika dalam penerbangan dari Langkawi ke Kuala Lumpur pada 24 Mei lalu.
Katanya, insiden memalukan itu berlaku disebabkan anak kecilnya tidak berhenti menangis kerana enggan duduk di kerusi berasingan.
Dia yang menggunakan akaun Facebook, Fear Dawooz berkongsi pengalaman tersebut menerusi satu hantaran panjang semalam.
Katanya, sebelum pesawat berlepas, dia ada meminta tali pinggang keledar khas untuk kanak-kanak (infant belt) daripada kru kabin.
“Boleh tak awak (kru) bagi infant punya belt sebab anak saya menyusu badan dan takut dia tak boleh duduk diam dekat kerusi dia sebab dia baru dua tahun,” minta isteri pengadu.
Namun, permintaan itu ditolak atas sebab polisi yang telah ditetapkan mengecualikan kanak-kanak berusia dua tahun menggunakan tali pinggang khas berkenaan.
“Tak boleh puan, dua tahun ke atas kena duduk di kerusi sendiri,” balas salah seorang kru.
Bercerita lanjut, apabila pesawat mula bergerak, anaknya mula menangis meronta-ronta selain terus bangun dari tempat duduk dan ingin berada di atas pangkuan isterinya.
“Kru kabin tadi datang semula dan ingatkan untuk anak aku duduk. Hanya ingatkan sahaja tanpa bertanya anak aku okay ke sebab masa itu anak aku menangis teruk.
“Jadi lagi sekali, aku pula yang minta benda yang sama ‘infant belt’ atau ‘seat belt extender’ yang mereka ada iklankan dekat ‘page’ baru-baru ini.
“Sedihnya, mereka tetap tidak mahu bagi dan dia terus ulang cakap benda sama ‘ini adalah polisi kami’,” kongsinya.
Selepas itu, lelaki tersebut mendakwa ketua kru kabin menghubungi kapten kapal (juruterbang) dan serta-merta satu pengumuman dibuat dengan meminta penumpang kanak-kanak itu duduk di kerusi sendiri atau tindakan lanjut akan dikenakan.
“To passenger seating on row *, please give your cooperation to remain seated or else, we will call our ground security to dissembark you from the plane (kepada penumpang di kerusi *, sila beri kerjasama dan kekal duduk di kerusi atau kami akan menghubungi pihak keselamatan untuk keluarkan anda dari pesawat),” kata kapten kapal dengan tegas.
Dia yang semakin hilang sabar cuba kekal bertenang dan situasi tersebut dianggap sebagai pengalaman paling memalukan dalam hidup mereka sekeluarga.
“Bayangkan perasaan aku dan isteri masa itu yang tengah ‘struggle’ nak menenangkan anak yang menangis teruk demi nak mengikut SOP mereka. Tiba-tiba kena ugut sampai nak halau keluar dari pesawat,” katanya.
Difahamkan, lelaki tersebut juga cuba menghubungi syarikat penerbangan berkenaan untuk membuat aduan dan malangnya, masih tidak dapat dihubungi.
Perkongsian lelaki itu kini tular di media sosial dan orang ramai bersimpati dengan kejadian yang menimpa dia sekeluarga selain ada yang turut berkongsi beberapa pengalaman hampir sama ketika menaiki penerbangan daripada syarikat tambang murah berkenaan. – KOSMO! ONLINE