fbpx

Inter Milan julang gelaran Piala Itali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INTER menjulang Piala Itali selepas menundukkan Fiorentina awal pagi semalam. - AFP

ROM – Pengendali Inter Milan, Simone Inzaghi berharap kejayaan menjulang trofi Piala Itali musim ini menjadi tonik terbaik buat mereka memburu gelaran Liga Juara-Juara selepas ini.

The Nerazzurri mengesahkan kejuaraan itu buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Fiorentina 2-1 pada aksi final di Stadio Olimpico awal pagi semalam.

Biarpun ketinggalan seawal minit ketiga menerusi Nicolas Gonzalez, tetapi Inter menunjukkan karakter sebagai juara dengan dua gol daripada Lautaro Martinez untuk memenangi aksi tersebut.

Kini, Inzaghi, 47, menuntut barisan pemainnya memberikan fokus sepenuhnya dalam usaha memburu gelaran berganda dengan menewaskan Manchester City pada final Liga Juara-Juara di Istanbul, Turkiye pada 11 Jun depan.

“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini. Apa yang lebih memuaskan apabila kami meraihnya ke atas pasukan berkualiti seperti Fiorentina yang sering memberikan masalah kepada kami.

“Kami tidak memulakan perlawanan dengan langkah tepat tetapi saya gembira kerana para pemain tahu bagaimana untuk mengubah situasi dan menjaringkan dua gol penting.

“Sekarang fokus kami adalah menamatkan aksi liga di kelompok empat teratas dan selepas itu Istanbul (final Liga Juara-Juara),” kata Inzaghi yang dilabel sebagai ‘raja’ pertandingan kalah mati.

Sebagai rekod, Inter yang kini berada di tangga ketiga, memburu penamat tempat kedua Serie A jika berjaya menewaskan Atalanta dan Torino dalam baki dua perlawanan selepas ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI