ALOR SETAR – Kehidupan daif bukan satu-satunya ujian yang terpaksa ditempuh seorang ibu tunggal dari Kubang Rotan di sini kerana dia turut menderita penyakit kanser payudara.
Disebabkan penyakit kanser tahap empat itu, Sofiah Yusof, 54, tidak mampu lagi menguruskan dua anaknya iaitu Siti Aisyah Abdullah, 15, dan Muhammad Aliff Adam, 12.
Menurut Sofiah, dia hanya bergantung kepada anak-anak untuk menjaganya selain melakukan kerja-kerja rumah selepas mereka pulang dari sekolah.
“Saya didiagnosis mempunyai ketumbuhan pada payudara kanan pada tahun lalu. Pada Februari lepas, saya menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan kesakitan (akibat pembedahan) masih terasa.
“Ada ketikanya saya perlu ambil ubat tahan sakit. Seharian saya terbaring dan tidur kerana itu sahaja cara untuk menghilangkan sakit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tandok, Kubang Rotan, Kuala Kedah di sini semalam.
Sofiah berkata, dia dijadualkan menjalani kemoterapi pada bulan lalu, namun tertangguh kerana kesihatan yang merosot.
Sofiah yang kematian suami enam tahun lalu memberitahu, dia sekeluarga kini bergantung dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat untuk kelangsungan hidup.
“Adakalanya memang tidak cukup (wang), jadi kami tiga beranak makan apa yang ada sahaja,” katanya.
Disebabkan masalah kewangan, wanita itu tidak mampu untuk membaiki rumahnya yang serba daif lebih-lebih lagi selepas dibadai ribut tahun lepas.
Sementara itu, Siti Aisyah berkata, walaupun hidup dalam kesempitan, dia berjanji untuk menjaga ibunya dengan sebaik mungkin.
“Saya cuba untuk menjadi anak dan kakak yang baik untuk ibu serta adik. Pada masa sama, saya cuba menjadi pelajar yang cemerlang walaupun perlu jaga ibu dan sedaya upaya tidak akan ponteng sekolah,” jelasnya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga Sofiah boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0200641000098133.