fbpx

Hub sukan, rekreasi IWK Eco Park Pantai Dalam beri manfaat kepada penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Fahmi (tengah) ketika melakukan gimik perasmian IWK Eco Park Pantai Dalam, hari ini.

KUALA LUMPUR – Taman sukan dan rekreasi syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Eco Park Pantai Dalam yang meliputi pelbagai kemudahan memberi manfaat kepada penduduk sekitar.

Ia menawarkan dewan komuniti serbaguna, bilik mesyuarat, kawasan untuk berkelah, trek joging dan berbasikal, serta pelbagai fasiliti sukan.

IWK Eco Park itu dibina di atas Loji Rawatan Kumbahan (LRK) yang terbesar di rantau Asia Pasifik iaitu Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 IWK.

Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, meskipun taman ini dibina di atas loji, namun dengan penggunaan teknologi moden, ia tidak lagi tercemar dengan bau yang kurang selesa.

“Hari ini sebenarnya perasmian semula IWK Eco Park selepas diserahkan semula pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pihak IWK untuk diselenggara.

“Setelah hampir tiga tahun, tempat ini telah ditambah baik dan kini dibuka semula untuk digunakan warga penduduk Lembah pantai termasuk ahli korporat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan IWK Eco Park Pantai Dalam di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, pelancaran taman itu merupakan peristiwa penting atas usaha penambahbaikan bagi keselesaaan pengunjung.

“IWK Eco Park ini sedia memberikan ruang kepada orang awam, agensi kerajaan, syarikat swasta atau individu untuk berhubung antara satu sama lain.

“Kami turut komited dalam menjayakan konsep Malaysia Madani melalui penyediaan tapak perniagaan bagi memberi peluang kepada peniaga kecil menjana pendapatan di sini”, tambahnya.

Taman tersebut difahamkan boleh menampung lebih 700 pengunjung dan dibuka setiap hari bermula 10 pagi sehingga 10 malam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI