fbpx

F1: Mercedes guna pakej baharu di GP Monaco

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MERCEDES bersedia untuk menguji pakej baharu jentera mereka menjelang aksi GP Monaco hujung minggu ini. - AFP

MONACO – Ketua Pasukan Mercedes AMG Petronas, Toto Wolff kekal tenang menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Monaco selepas jentera W14 pasukan mendapat ‘suntikan’ baharu sekali gus dijangka boleh mencabar kejuaraan nanti.

Difahamkan, Mercedes bersedia untuk mempertaruhkan jentera yang sudah dinaik taraf pada perlumbaan di Litar Monaco minggu ini selepas ditangguhkan susulan GP Emilia Romagna dibatalkan ekoran banjir minggu lalu.

Kata Wolff, masih banyak perkara yang perlu diperhalusi sebelum memikirkan tentang potensi untuk menjuarai podium pada perlumbaan minggu ini dan semua pihak tidak boleh menjangkakan jentera yang sempurna.

“Selepas GP Emilia Romagna dibatalkan, Monaco bakal menjadi titik permulaan perlumbaan F1 di Eropah dan sudah pasti kami begitu teruja untuk berikan yang terbaik dalam usaha meraih mata berharga.

“Kita semua tahu Monaco memiliki sejarah unik tersendiri dan semua pelumba terdesak untuk buat yang terbaik. Namun, kita juga ada misi yang mana mahu menguji jentera kami yang baru dinaik taraf buat kali pertama.

“Justeru, saya mengambil pendekatan untuk bertenang dan berhati-hati menjelang perlumbaan minggu ini. Namun, saya juga tidak mahu sebarang kemungkinan yang berlaku nanti dijadikan sebagai andaian keupayaan pasukan sehingga ke penghujung musim.

“Jika kita berjaya tamatkan perlumbaan dengan positif, ia pasti akan menaikkan motivasi pasukan, tetapi jika sebaliknya berlaku, kita tetap akan mencari ruang untuk perbaiki prestasi jentera daripada masa ke semasa,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI