PETALING JAYA – Axiata Group Bhd. bakal melancarkan bank digitalnya sendiri menjelang akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Vivek Sood berkata, bank digital tersebut dijangka menjana keuntungan dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.
Katanya, komitmen modal awal untuk bank digital itu ialah sekitar RM100 juta, dan ia akan menawarkan produk yang besar, termasuk deposit untuk pemegang akaun-akaun semasa dan akaun simpanan (CASA), insurans dan produk kewangan lain.
“Pelbagai pencapaian telah dikecapi menyebabkan kami optimis tentang hasil bank digital tersebut. Sebagai contoh, kami telah melakukan kira-kira satu setengah bilion pinjaman kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) melalui Boost Credit.
“Kami juga mempunyai sejumlah besar setengah juta pelanggan aktif setiap bulan yang berpotensi menjadi pelanggan bank digital itu,” katanya ketika sidang akhbar secara maya selepas mesyuarat agung tahunan Axiata Group Bhd hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Axia Group Bhd., Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan dan Pengarah Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Telekomunikasi Perniagaan, Dr. Hans Wijayasuriya.
Dalam pada itu, Axiata Group Bhd. memaklumkan Mesyuarat Agung Tahunan ke-31 yang diadakan pada hari ini turut menyaksikan para pemegang saham menyatakan sokongan untuk usaha berterusan Kumpulan itu ke arah mencapai matlamat strategiknya.
Shahril Ridza berkata, Axiata telah menunjukkan pendekatan berhemat dan progresif dalam meningkatkan daya tahan keseluruhannya yang dicapai oleh keupayaan pelaksanaan yang kukuh dan ketangkasan kumpulan itu.
“Axiata juga merumuskan Jawatankuasa Kelestarian Lembaga Pengarah dan menyunting semula Rangka Kerja Kemampanan untuk memacu aspirasi ke arah memajukan masa depan digital, di mana orang ramai, planet dan perniagaan boleh berkembang maju secara kolektif.
“Berikutan pelancaran Pelan Hala Tuju Karbon Axiata Net-Zero pada 2022 selaras dengan Inisiatif Sasaran Berasaskan Sains (SBTi), Axiata mula menerima cadangan Pasukan Petugas mengenai Pendedahan Kewangan Berkaitan Iklim (TCFD), yang dirancang dalam tempoh tiga tahun,” tambahnya.
Katanya lagi, pelaksanaan itu dijangka dapat menyediakan perniagaan dalam mengurangkan kesan dan risiko iklim serta merealisasikan peluang masa depan. – KOSMO! ONLINE