SKUAD hoki remaja lelaki negara meneruskan momentum memenangi pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 dengan berpesta gol membelasah Uzbekistan 8-1 pada aksi pertama Piala Remaja Asia 2023 di Oman kelmarin.
Biarpun gembira dengan kemenangan tetapi ketua jurulatihnya, Muhammad Amin Rahim masih menuntut peningkatan daripada para pemainnya berdasarkan aksi ditunjukkan pada aksi di Kompleks Sukan Salalah itu.
Amin menekankan anak-anak buahnya perlu memberikan fokus penuh selama 60 minit permainan kerana kelekaan walaupun sesaat akan dihukum pihak lawan seperti dilakukan Uzbekistan kelmarin.
“Pemain beraksi dengan baik dan berjaya jaringkan empat daripada 12 pukulan sudut penalti selain menghasilkan empat gol padang. Namun, kita benarkan lawan jaringkan satu gol daripada serangan balas.
“Pemain tidak boleh leka beberapa minit pun dalam perlawanan antarabangsa. Sedikit kelekaan dan kecuaian di atas padang akan mengakibatkan gol oleh pihak lawan.
“Apa pun, kita keluar daripada perlawanan ini dengan kemenangan dan tiga mata yang diharapkan. Pemain turun dengan prestasi baik dan harap dapat kekal fokus untuk mencari kemenangan seterusnya,” katanya.
Pakar flik Young Tigers, T. Perabu meledak hatrik dengan tiga gol pukulan sudut penalti pada minit ketujuh, 9 dan 18 selain satu lagi jaringan dari aspek itu dihasilkan oleh Che Nur Aqilrullah Che Mohd. Khairulzi (m-27).
Empat gol padang negara pula diperoleh menerusi Alfarico Lau pada minit ke-12, Shahmie Irfan Suhaimi (m-26), Mughni Mohamad Kamal (m-43) dan Muhammad Adam Ashraf Mohd. Johari (m-52).
Uzbekistan meraih jaringan sagu hati menerusi Shavkatjon Kakhramonov hasil serangan balas pantas pada minit ke-55.
Hari ini, Malaysia akan turun menghadapi aksi kedua Kumpulan B menentang Bangladesh yang turut melakar kemenangan pertama menewaskan Oman 2-0.