JAKARTA – Satu pertunjukan tarian kebudayaan di Pulau Bali bertukar kecoh apabila seorang wanita warganegara asing muncul dalam keadaan bogel dan mengganggu persembahan, lapor laman berita Detik semalam.
“Insiden wanita asing berbogel itu berlaku di pentas Puri Saraswati Ubud milik Tjokorda Ngurah Suyadnya atau Cok Wah,” kata Ketua Bahagian Perhubungan Masyarakat Polis Bali, Stefanus Satake Bayu Setianto.
Berdasarkan video yang dikongsikan di media sosial, wanita tersebut dilihat berjalan masuk dan merosakkan pintu pentas sebelum cuba meniru aksi tarian kumpulan penari.
Aksi tidak senonoh itu dihalang oleh penjaga pentas sebelum dia dibawa keluar dari kawasan tersebut.
Menurut polis, kejadian berlaku Isnin lalu sekitar pukul 8 malam (waktu tempatan).
Identiti wanita berkenaan dikenal pasti sebagai Darja Tuschinski, 28, yang merupakan pelancong dari Jerman.
Sementara itu, laman berita Merdeka melaporkan, polis Ubud menahan wanita berkenaan dengan dia disahkan menghidap sakit mental.
“Warga asing tersebut mengalami gangguan jiwa atau depresi. Dia kehabisan wang untuk terus menetap di Bali,” kata Stefanus. – AGENSI