PASUKAN Tobaki Pink Racing bakal menekan butang ‘reset’ menjelang perlumbaan Pusingan Ketiga Kejuaraan Cub Prix Malaysia yang membuka tirai di Daerah Jasin, Melaka pada 27 hingga 28 Mei ini.
Pemilik Pink Racing, Nur Atikah Azwar berkata, pasukannya akan turun dengan sedikit kelainan apabila menaikkan pangkat pelumba CP125, Qhuwarismi Nasir ke kelas perdana CP150.
Atikah menegaskan, Qhuwarismi akan mengambil alih tempat Faris Amir Sharifudin selepas pelumba kelahiran Perak itu membuat keputusan melanjutkan pelajaran.
“Oleh itu, pasukan sebulat suara membawa masuk Qhuwarismi dan ketika ini pasukan sedia menyediakan jentera terbaik untuk menghadapi perlumbaan di Jasin, Melaka nanti.
“Meskipun ini adalah keputusan saat akhir tetapi pasukan tiada pilihan. Apa pun, saya meletakkan kepercayaan kepada Qhuwarismi untuk bersaing dalam kelas berbeza.
“Dia juga mempunyai pengalaman beraksi dengan jentera CP150 dan saya yakin Qhuwarismi mampu cepat belajar untuk bersaing dengan pelumba berpengalaman lain,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Perubahan itu menyebabkan Pink Racing hanya menggunakan seorang pelumba dalam kelas CP125 iaitu Arfyq Hillman.
Kosmo! merupakan salah satu penaja rasmi kepada pasukan Tobaki Pink Racing pada musim ini.