IPOH – Penternakan ayam hendaklah diusahakan secara tertutup sebelum Disember 2025 selepas Rang Undang-Undang Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) diluluskan hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, kerajaan negeri telah menetapkan Tempoh Muktamad Penguatkuasaan (TMP) penggunaan sistem reban tertutup sepenuhnya bagi perladangan unggas pada Disember 2025 dan akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2026.
“Pindaan Enakmen ini juga nanti mampu menangani isu-isu aduan pencemaran dan kacau ganggu awam yang berpunca dari operasi ladang unggas seperti di Kawasan Manjung yang tular baru-baru ini.
“Jadi, buat masa sekarang pemain-pemain industri penternakan ayam di negeri ini dapat bersedia untuk mengusahakan penternakan secara tertutup sepenuhnya sebelum Disember 2025,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zolkafly, RUU Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 yang diluluskan hari ini mengandungi 26 fasal yang terdiri daripada pembentukan sedia ada.
Ujarnya, pindaan enakmen itu juga akan memperkemaskan kehendak pematuhan standard amalan perladangan unggas oleh pemegang lesen termasuk keperluan mematuhi undang-undang bertulis lain yang berkaitan dengan operasi ladang unggas.
“Pindaan Enakmen ini sudah pastinya dapat memastikan kawal selia perladangan unggas di Perak sentiasa berada pada tahap yang lebih baik dan seiring dengan keperluan terkini operasi ladang bagi menjayakan dasar keterjaminan makanan.
“Saya juga berharap agar semua pemain-pemain industri penternakan ayam di negeri ini dapat mengusahakan penternakan secara tertutup sepenuhnya sebelum Disember 2025,” katanya. – KOSMO! ONLINE