fbpx

Tangan terputus, remaja maut bergesel lori tunda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggang mangsa selepas bergesel dengan sebuah lori tunda dalam kejadian di Kilometer 95, Jalan Batu Pahat - Mersing tengah malam tadi.

KLUANG – Seorang remaja maut apabila motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggang bergesel dengan sebuah lori tunda dalam kejadian di Kilometer (KM) 95, Jalan Batu Pahat – Mersing tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.20 tengah malam melibatkan mangsa dikenali sebagai Mohammad Haziq Haiqal, 18.

Ujarnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah pada kepala, bahagian badan sebelah kanan selain tangan sebelah kanan terputus.

“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila Mohammad Haziq yang datang dari arah Mersing manakala pemandu lori berusia 48 tahun datang dari arah bertentangan.

“Kedua-dua kenderaan terbabit bergesel di tengah-tengah jalan lokasi kejadian berdasarkan serpihan yang ditemui di atas garisan berkembar jalan.

“Akibat pergeselan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan sebelah kanan, tangan kanan terputus dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya melalui kenyataan di sini hari ini.

Menurut Bahrin lagi, pemandu lori tunda itu bertindak memandu terus ke arah Mersing kerana bimbang dipukul oleh penduduk kampung kawasan berhampiran kejadian.

Tambahnya, bagaimana pun pemandu lori itu datang ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Daerah Polis Kluang untuk membuat laporan seterusnya ditahan untuk pemeriksaan air kencing bagi memastikan tiada pengaruh bahan terlarang.

“Kes akan di siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI