fbpx

Sultan Perak perkenan wartawan baca khutbah Jumaat di Ipoh esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mengiktiraf peranan wartawan apabila membenarkan tiga pengamal media membaca khutbah Jumaat yang mengupas isu kepentingan kewartawanan menurut Islam di tiga masjid di sini esok.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini, berkata ia sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang akan berlangsung di bandar raya ini pada Sabtu dan Ahad ini.

“Baginda mengiktiraf peranan penting para wartawan, telah menitahkan khutbah Jumaat di negeri Perak pada 26 Mei 2023 (esok) bertemakan ‘Kewartawanan : Menyempurnakan Tugas Berlandaskan Nilai-nilai Islam’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, baginda turut memperkenan pengamal media diberikan peluang dan penghormatan membaca khutbah tersebut di masjid-masjid di negeri ini esok.

Jelasnya, susulan daripada itu, Jabatan Penyiaran Negeri Perak serta Persatuan Pengamal Media Perak telah mengemukakan tiga nama pengamal media kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk mendapat tauliah membaca khutbah di tiga masjid di negeri ini.

Mereka ialah Editor Rencana, Agama dan Sastera Berita Harian, Mohd Nazmi Yaacob, yang diperkenankan tauliah untuk membaca khutbah Jumaat di Masjid Negeri iaitu Masjid Sultan Idris Shah II.

Ketua Biro Sinar Harian Perak, Saifullah Ahmad pula diperkenankan tauliah membaca khutbah Jumaat di Masjid Sultan Azlan Shah manakala Penerbit Rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mohd. Fahmi Mohd. Nor di Masjid Muhibbuddin Shah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI