RIYADH – Bintang Ronaldo, Cristiano Ronaldo kembali menghidupkan peluang buat Al-Nassr dalam perebutan gelaran Liga Pro Arab Saudi musim ini apabila meledak gol kemenangan menewaskan Al-Shahab awal pagi semalam.
Al-Nassr terlebih dahulu ketinggalan dua gol kepada Al-Shahab hasil dua jaringan Christian Guanca pada minit ke-25 dan 40 dalam aksi di Stadium KSU itu.
Bagaimanapun, Al-Nassr bangkit menyamakan kedudukan dengan dua gol dalam tempoh tujuh minit menerusi Talisca (m-44) dan Abdulrahman Ghareeb (m-51) sebelum Ronaldo meledak jaringan kemenangan pada minit ke-59.
“Kami bermain dengan sangat hebat apabila ketinggalan 0-2 dan ia menjadikan perlawanan ini bertambah sukar.
“Kepercayaan tinggi semua pemain dan sikap tidak mengalah membolehkan kami bangkit meledak tiga gol untuk memenangi perlawanan ini,” kata Ronaldo.
Tiga mata itu amat berharga buat Al-Nassr kerana ia dapat menangguhkan seketika hasrat pendahulu liga, Al-Ittihad untuk meraikan kejuaraan biarpun turut merakam kemenangan 1-0 ke atas Al-Batin awal pagi semalam.
Penjaga gol Al-Ittihad, Marcelo Grohe dilaporkan begitu kecewa apabila dimaklumkan oleh salah seorang penyokong mereka bahawa Al-Nassr berjaya memenangi perlawanan tersebut.
Bagaimanapun, peluang Al-Nassr untuk muncul juara tampak sukar kerana perlu mengharapkan Al-Ittihad tewas salah satu daripada dua perlawanan terakhir mereka selepas ini.
Sebagai rekod, Al-Ittihad memiliki kelebihan tiga mata ke atas Al-Nassr di tempat kedua dan berpeluang mengesahkan kejuaraan buat kali pertama sejak 2009 jika berjaya menewaskan Al-Fayha pada perlawanan Sabtu ini. – AGENSI