LANGKAWI – Rejimen 504 Askar Wataniah (AW) menyasarkan seramai 330 orang rekrut baharu pasukan simpanan itu daripada institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh Perlis.
Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Komander Rejimen 504 AW bertitah, ia adalah sebahagian inisiatif diusahakan Rejimen 504 AW dalam fasa pembangunan pasukan simpanan pertahanan negara tersebut.
“Daripada jumlah itu, rejimen ini menyasarkan setiap institusi mampu merekrut seramai 30 pelajar setahun dan menjadikan jumlah keseluruhan 330 anggota baharu setiap tahun,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persetujuan (MoA) antara Rejimen 504 AW dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Perlis di Chenang, di sini, semalam.
Titah Tuanku Syed Faizuddin, pelan tersebut dilaksanakan melalui kolaborasi antara rejimen itu bersama pihak awam menerusi tiga fasa hasil ilham Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji
serta para pegawai kanan rejimen itu.
“Fasa pertama melibatkan IPTA dan IPTS, fasa kedua adalah bersama agensi kerajaan serta swasta manakala fasa berikutnya kolaborasi bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan juga Ahli Jawatankuasa Masjid.
“Ia sejajar dengan Pelan Strategik Hala Tuju Askar Wataniah 2022-2030 bagi mencapai 80,000 pengambilan anggota sukarela menjelang tahun 2025 dengan Perlis berkemungkinan besar merupakan negeri pertama yang melaksanakan inisiatif ini,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE