SYAFIQ YUSOF sudah improve banyak. Itu antara yang terdetik dalam fikiran usai menghabiskan tontonan filem terbaharunya, Polis EVO 3.
Filem aksi komedi ketiga daripada francais Polis EVO itu bukan hanya terkandung dua elemen tersebut, bahkan mampu membuatkan emosi ramai terbuai dan terpukul.
Terbuai bukan hanya sinergi atau dampak lakonan ditinggalkan dua tunjang utamanya, Shaheizy Sam sebagai Inspektor Khai dan Zizan Razak (Inspektor Sani). Mencuri tumpuan kali ini adalah watak villain yang dijayakan Sharnaaz Ahmad (Reza).
Syafiq makin bagus
Sharnaaz membawakan dan menjiwai watak Reza dengan sempurna dengan gaya tersendiri.
Dari segi pengarahan, sejujurnya penulis agak skeptikal bahawa filem kali ini akan jadi biasa-biasa sahaja. Hal ini kerana, 20 minit awal sudah ada vibe naskhah akan berlalu sedemikian.
Selepas 30 minit, anggapan itu meleset. Plot terus dipacu laju dengan naratif perkembangan karakter, aksi dan lelucon. Senang cerita, momentumnya hampir sempurna.
Syafiq di bangku pengarah semakin matang ‘membeli’ dan memancing jiwa audiens. Kalau dalam beberapa filem terdahulu, terasa seperti perihal tersebut kurang rencah, kini dia sudah kian selesa sebagai sutradara.
Sharnaaz villain hebat
Dari segi penghayatan, barisan pelakon terlibat memberikan yang terbaik. Berada di ranking pertama adalah watak jahat bernama Reza lakonan Sharnaaz.
Sungguhpun Sharnaaz sebenarnya boleh buat ‘lebih’, namun apa yang dipaparkan sudah mencukupi dan layak dicanangkan pujian.
Semua maklum bahawa Malaysia ada Lembaga Penapis Filem (LPF) yang perlu dituruti.
Tidaklah mengharapkan karakter Reza sejahat Dante Reyes (Jason Momoa) dalam Fast X, namun Sharnaaz sudah beri yang terbaik menerusi peranan penjahat bernama Reza.
Khai dan Sani masih sama seperti dahulu, masing-masing ‘ting tong’, masih masuk air. Mereka masih ‘sekufu’ bekerjasama menegakkan kebenaran dalam dunia kepolisan biarpun Khai dibelenggu memori lama yang dibawa Reza dalam misi kali ini.
Belenggu memori yang bagaimana? Jawapan kepada persoalan tersebut ada dalam Polis EVO 3.
Komitmen, karakter
Barisan pelakon lain seperti Farali Khan, Syafiq Kyle dan Nora Danish juga tidak kurang hebatnya dan meninggalkan dampak masing-masing.
Babak aksi dan letupan serta kejar-mengejar kereta juga dijayakan cemerlang dan wajar diletakkan pujian. Masih ada kelemahan di sini sana, namun di peringkat lokal, sudah ada kemajuan yang baik.
Secara keseluruhan, Polis EVO 3 tidak mengecewakan. Masih boleh ditonton dengan ditemani sekotak bertih jagung.
Polis EVO 3 menjanjikan keseronokan berada dalam panggung dengan mereka yang sukakan cerita aksi tempatan dengan ‘banyak’ twist komedi bersahaja.