fbpx

Pesara polis kenang detik usung mayat kembung 800 meter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MANOHARAN menunjukkan sijil penghargaan dan pingat yang diterimanya pada Majlis Penganugerahan P.J.P.N Tanpa Istiadat Ibu Pejabat Kontinjen Melaka, Ayer Keroh, Melaka. Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/KOSMO!

MELAKA – Seorang pesara polis masih tidak dapat melupakan pengalamannya mengusung mayat seorang wanita yang maut akibat lemas sejauh 800 meter untuk dihantar ke sebuah hospital di Perak.

Menurut R. Manoharan, 66, kejadian sekitar era 90-an itu merupakan memori yang sering dikenangnya, apatah lagi selepas kejadian dia tidak dapat melelapkan matanya selama empat hari.

Menceritakan semula detik tersebut, beliau berkata, ketika kejadian dia berkhidmat di Ipoh dan mendapat maklumat mengenai penemuan mayat seorang wanita di dalam sungai.

“Saya ditugaskan untuk membawa mayat yang telah kembung ke tebing sungai, saya telah ikatkan tali di kakinya untuk memudahkan saya menariknya ke atas kerana air sungai ketika itu agak dalam iaitu pada paras dada.

“Ketika sedang tarik, tiba-tiba kakinya terputus, mujur saya sempat tarik badannya dan bawa ke tebing. Saya kemudian meminta tolong rakan mengangkatnya menggunakan pengusung dan kami terpaksa berjalan kaki sejauh 800 meter untuk ke kenderaan.

“Selepas habis bertugas dan pulang ke rumah, saya jadi susah nak lelapkan mata sehingga empat hari mungkin kerana terlalu lama tengok mayat wanita berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negera (P.J.P.N) di Ibu Pejabat Kontinjen Melaka di sini, hari ini.

Manoharan antara 98 penerima anugerah tersebut yang telah disampaikan oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerjaya polis yang diceburinya sejak 1977 sangat mementingkan disiplin sehingga dia menerapkan amalan berkenaan dalam diri empat anaknya.

“Cabaran selama 40 tahun berkhidmat dalam polis ini dapat diharungi dengan disiplin yang tinggi dan nilai itulah dikongsikan kepada anak-anak.

“Pada hari ini, saya anggap mereka juga telah berjaya dengan kerjaya masing-masing dengan dua daripadanya menjadi doktor, seorang jurutera dan ahli fisioterapi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI