fbpx

K2

Perlukah tahu kandungan perfume?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN.

Memakai wangian / perfume yang mengandungi najis menyebabkan solat tidak sah. Adakah wajib bagi seorang Muslim mengkaji bahan kandungan perfume untuk memastikan tiada najis? Ini kerana agak sukar untuk cari maklumat mengenai bahan kandungan itu.

Jawapan: Allah SWT telah memerintahkan seluruh hamba-Nya untuk mencari sesuatu yang halal sama ada untuk dimakan, digunakan atau dimanfaatkan dalam kehidupan seharian. Hal ini seperti yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Mencari yang halal itu merupakan suatu kewajipan ke atas setiap Muslim.

Diriwayatkan juga oleh Nu’man bin Basyir, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya perkara yang halal itu sudah dijelaskan dan perkara yang haram itu juga jelas, sedangkan antara kedua-duanya terdapat perkara yang samar-samar.

Perkara itu tidak diketahui oleh ramai orang. Maka barang siapa yang memelihara dirinya daripada perkara sama-samar itu bererti dia telah menyelamatkan agama dan maruah dirinya. Dan (tetapi) barangsiapa yang berada di dalam syubhah itu, (ditakuti) dia akan jatuh ke dalam perkara yang haram.

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini menyatakan:“Bahawasanya sesuatu perkara itu terbahagi kepada tiga bahagian iaitu yang pertama adalah halal. Halal itu hukumnya jelas, tiada keraguan mengenainya sama ada daripada bahan makanan atau bahan gunaan. Yang kedua adalah haram yang mana hukumnya juga jelas, manakala yang ketiga ialah mutasyabihat (samar-samar) iaitu tidak jelas akan halal dan haramnya dan adalah lebih baik meninggalkannya seperti yang telah disebutkan dalam sabda Baginda: “Maka sesiapa yang menjauhi perkara syubhah itu, bermakna dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya.”

Ulama mazhab Syafie berkata: Rasulullah SAW menjelaskan bahawa hukum asal dan keyakinan tidak dapat ditinggalkan hukumnya itu dengan sesuatu keraguan. Ini merupakan kaedah yang mengikat sesuatu hukum kecuali perkara-perkara ringan yang terikat dengan dalil khusus baginya.

Berdasarkan kaedah ini, jika seseorang membawa air dan benda cair lain misalnya susu, madu, minyak, lemak, jus atau selainnya pada asalnya dalam keadaan suci, kemudian diragui kenajisannya, maka keraguan tersebut tidak memberi sebarang kesan dan ia tetap dalam keadaan suci. Keraguan ini sama ada keraguan antara suci dan najis itu adalah sama banyak atau keraguan kepada kenajisannya itu lebih kuat.

Terdapat juga kaedah fiqh yang boleh dijadikan panduan dalam menghadapi sesuatu keraguan iaitu: Sesuatu keyakinan itu tidak dapat dihilangkan dengan sesuatu keraguan. Sekiranya telah diyakini kesucian kemudian timbul keraguan, maka hukumnya kekal suci.

Berdasarkan penerangan yang telah disertakan, kami berpendapat bahawa menjadi satu tuntutan ke atas seorang Muslim untuk mencari sesuatu yang halal dan suci termasuklah barangan yang digunakan dalam kehidupan harian sama ada produk makanan dan minuman, kosmetik, produk barang gunaan dan sebagainya.

Namun begitu, perlu juga diingatkan dalam beberapa situasi, pertanyaan atau sifat ingin tahu secara mendalam tentang sesuatu boleh membawa kepada kesusahan ke atas diri sendiri bukanlah satu keperluan dan sebaiknya dielakkan.

Justeru, berbalik kepada konteks persoalan, hukum asal penggunaan barang yang disebutkan adalah harus dalam kehidupan seharian. Ini adalah berdasarkan kaedah fiqh yang menyebut: Asal bagi sesuatu perkara itu adalah harus sehinggalah datang dalil yang menunjukkan kepada keharaman.

Oleh itu, jika tiada sebarang bukti misalnya tidak dapat diketahui dan disahkan sendiri atau tiada pengesahan pihak berautoriti tentang keharaman atau kenajisan barang tersebut, maka dihukumkan harus penggunaannya.

Sekiranya ingin memastikan juga sama ada barang gunaan itu mengandungi najis atau sebagainya, maka harus seseorang itu untuk merujuk kepada pihak berkenaan atau pihak yang pakar misalnya pengeluar produk itu sendiri atau ahli kimia.

Tambahan, sebagai panduan untuk memilih produk makanan, minuman atau barang gunaan yang diyakini kesuciannya bolehlah mengutamakan produk mempunyai sijil halal yang diiktiraf pihak Jakim.

Hal ini disebabkan setiap produk yang ingin mendapatkan pengiktirafan halal daripada Jakim ini perlu melalui proses atau prosedur operasi standard (SOP) yang teliti dan selari dengan hukum syarak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI