LANGKAWI – Seluruh cabang pasukan pertahanan negara diseru untuk sentiasa bersedia dan mempersiapkan diri bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sekiranya pasukan pertahanan bergerak seiring dan teguh bersatu, negara akan dapat menghadapi apa jua bentuk cabaran yang mendatang.
Titah baginda yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia, kesemua barisan pertahanan diseru agar terus merapatkan barisan dan bekerja dalam satu pasukan sebagai benteng pertahanan negara.
“Perkembangan sains dan teknologi yang begitu pesat akan memberikan kita lebih cabaran untuk menyediakan sumber manusia berkepakaran serta aset-aset khusus untuk menghadapi ancaman bentuk baharu hasil perkembangan teknologi,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian selepas berangkat melawat dan meninjau kapal frigat pasukan Tentera Laut Itali dan kapal pendaratan kereta kebal (tank landing ship) milik Korea Selatan.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda berdua meluangkan masa lebih dua jam memenuhi undangan melihat teknologi terbaharu kapal peronda luar pesisir kelas Thaon di Revel milik Tentera Laut Itali Francesco Morosoni (P431), ditempatkan di Asia Pasifik selama lima bulan dan akan melawat beberapa negara di rantau ini.
Kapal peronda luar pesisir kelas Thaon di Revel ialah reka bentuk kapal menarik yang lebih besar daripada kebanyakan reka bentuk frigat sepanjang 143 meter dan bersesaran antara 4,900 hingga 5,000 tan bergantung kepada varian merangkumi varian light, light+ dan full.
Varian penuh dilengkapi dengan dua VLS 8-sel untuk peluru berpandu pertahanan udara Aster 30, lapan peluru berpandu anti-kapal MBDA Teseo, dan dua pelancar torpedo ringan tiga kali ganda, yang menjadikannya tidak berbeza dengan frigat.
Baginda berdua bersama delegasi seranta kemudiannya melawat kapal pendaratan Rok Nojoekbong dan diberi taklimat khas berkaitan teknologi digunakan oleh Pegawai Memerintah, Kepten Komander Kim Sang-Hyun. – KOSMO! ONLINE