PETALING JAYA – Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) telah berjaya mengatasi cabaran kekurangan bekalan buruh dan kos bahan binaan lebih tinggi tahun lalu dengan merekodkan untung selepas cukai (PAT) 1.6 peratus lebih tinggi kepada RM204.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (TK2023).
Hasil naik 25.2 peratus kepada RM1.1 bilion daripada RM892.4 juta pada tahun sebelumnya, dengan peningkatan sumbangan merentasi kesemua segmen perniagaan.
Kumpulan turut mencapai sasaran jualan hartanah baharu sebanyak RM1.2 bilion pada TK2023 daripada pembangunan tempatan, disokong cadangan nilai kukuh serta kualiti hartanah premium pada harga mampu milik bagi perbandarannya di Sendayan.
Setakat 31 Mac 2023, jualan belum dibil Kumpulan meningkat 11.5 peratus kepada RM1.4 bilion daripada RM1.3 bilion sebelum ini, memberikan keterlihatan pendapatan untuk 15 hingga 18 bulan akan datang.
Pengerusinya, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, prestasi jualan kukuh tahun lalu menunjukkan pemahaman mendalam Kumpulan tentang keperluan pelanggan, digabungkan dengan aktiviti jualan yang berkesan melalui pelancaran produk di lapangan dan secara digital.
“Pelancaran hartanah terbaharu kami di Sendayan Developments telah mencapai kadar pengambilan yang tinggi dengan purata lebih 90 peratus dalam tempoh tiga bulan.
“Kami akan terus mengenal pasti peluang menambah bank tanah bagi melengkapkan capaian semasa.
“Kami akan kekal berhemat dalam menempuh tekanan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini. -KOSMO!ONLINE