PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) kini dalam proses meninjau dan memantau kesan-kesan dihadapi golongan petani di seluruh negara susulan fenomena El Nino ketika ini.
Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin berkata, tumpuan utama membabitkan kawasan pengeluaran padi di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).
Beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan bekalan air di tiga kawasan pertanian itu mencukupi sekaligus menjamin operasi pengeluaran padi dan beras negara.
“Kerajaan sudah menubuhkan pasukan petugas khas bagi memantau musim cuaca panas dan kering itu.
“Pasukan itu juga akan mengenal pasti kerosakan di kawasan pertanian terjejas termasuk langkah-langkah awal mitigasi yang perlu dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pada Seminar Pelaburan Subsektor Tanaman Agromakanan Malaysia, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas ditanya sama ada fenomena El Nino ini juga akan dimasukkan dalam sebahagian Tabung Bencana Pertanian.
Katanya, buat masa ini, tiada sebarang bantuan menerusi Tabung Bencana Pertanian diperuntukkan bagi petani yang terjejas akibat musim cuaca panas itu. – KOSMO! ONLINE