fbpx

Lelaki dijel 15 tahun kerana pukul kekasih gelap isteri hingga mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD AD DARRABI dijel 15 tahun selepas Mahkamah Tinggi Muar hari ini membuat keputusan pertuduhan pilihan menyebabkan kematian seorang lelaki yang didakwa kekasih gelap isterinya.

MUAR – Tindakan seorang suami memukul lelaki yang menjalinkan cinta dengan isterinya sehingga maut lima tahun lalu membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Tertuduh, Ahmad Ad Darrabi Sadiman, 39, dijatuhi hukuman itu selepas Hakim Suria Kumar Durairaj memutuskan keputusan melalui pertuduhan pilihan menyebabkan kematian tanpa niat terhadap Muhammad Mudrikah Lizan.

Ahmad Ad Darrabi yang bekerja sendiri perlu menjalani hukuman terbabit bermula pada tarikh dia ditangkap iaitu pada 28 Oktober 2018.

Suria Kumar dalam penghakiman ringkas berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira hujahan kedua-dua belah pihak.

“Hukuman ini (penjara 15 tahun) disebabkan kesalahan akibat kemarahan tertuduh yang membawa kepada tindakannya itu (membunuh),” katanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersama tiga lagi rakan (yang dibicarakan mengikut seksyen berlainan) didakwa menyebabkan kematian Muhammad Mudrikah di pekarangan Taman Rekreasi Sungai Senggarang, Batu Pahat antara pukul 6.40 petang hingga 8.50 malam, pada 23 Oktober 2018.

Tertuduh ketika itu bersama-sama Muhammad Fadhli Benu, 34, Rizaki Riduan, 43, dan Mohd. Fairuz Zakaria, 40, didakwa memukul mangsa kerana didakwa bermain cinta dengan isterinya.

Mangsa pada mulanya cedera parah dan tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Namun, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia pada pukul 5.15 petang keesokan harinya.

Hasil siasatan polis mendapati mangsa dipercayai dilarikan dan dipukul selepas tertuduh tidak berpuas hati terhadap mangsa yang dikatakan menjalin hubungan sulit dengan isterinya.

Tindakan itu susulan tertuduh menemui beberapa gambar intim antara mangsa dengan isterinya selain mesej lucah dalam telefon bimbit lelaki itu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

Melalui pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) kanun sama, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan juga denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Putera Amirool Faez Suhasi manakala tertuduh diwakili peguam Safiah Abdul Aziz.

Terdahulu, Safiah memberitahu mahkamah bahawa si mati menjadi punca kepada peristiwa yang menyebabkan anak guamnya mengambil tindakan itu.

“Dalam kes ini, anak guam saya tidak berniat melakukan perbuatan itu hingga menyebabkan kematian. Jadi saya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman paling minimum kerana mengambil kira tempoh penjara yang dikenakan sementara menunggu hari penghakiman,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI