fbpx

Keunikan kudapan wantan buncit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI MARIAM bergambar bersama sebahagian menu menarik yang ditawarkan di restoran Boombastic Homecook, Sandakan, Sabah.

CARA-CARA pembuatan wantan yang dipelajari ketika bekerja di sebuah restoran Cina Muslim pada usia remaja masih segar dalam ingatan Siti Mariam Jundam.

Dari situ, hati wanita berusia 26 tahun itu terdetik untuk cuba memperkenalkan makanan masyarakat Cina tersebut ke dalam menu restoran miliknya, Boombastic Homecook (Nasi Kuning Mama).

Restoran yang terletak di Light Industrial, Jalan BDC, Sandakan, Sabah itu diusahakan bersama suaminya, Najir Dawisani, 27.

Anak jati kelahiran Sabah itu mengakui tidak menyangka makanan yang diberi nama wantan buncit itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggannya.

“Saya tidak menyangka pesanan tidak putus-putus diterima sama ada dalam bentuk masakan panas atau sejuk beku.

“Kebiasaannya, pelanggan restoran akan pesan wantan buncit sebagai kudapan bersama sos sambal kicap pedas.

“Namun, ada juga yang memesannya sebagai lauk nasi, mi atau sup,” katanya.

Tambah Siti Mariam, terdapat tiga jenis inti untuk wantan buncit iaitu ayam, campuran ayam dan udang serta campuran ayam serta daging.

Pelanggan juga boleh memilih untuk membeli wantan buncit bentuk mini atau biasa.

Wantan buncit padat dengan inti

“Campuran daging mengikut jenis inti dicincang halus sebelum ditambah dengan lobak, daun bawang serta perasa resepi sendiri.

“Perasa resepi ini merupakan faktor wantan kami berbeza daripada yang lain.

“Saya sendiri cuba olah makanan itu berdasarkan video-video masakan di internet,” katanya.

Selain daripada wantan buncit, antara makanan lain yang mendapat sambutan di restoran tersebut adalah nasi kuning.

Nasi kuning merupakan beras yang ditanak bersama kunyit dan dimakan bersama pelbagai jenis lauk.

Antara lauk-pauk itu adalah ayam goreng, ikan goreng, udang goreng, sotong goreng, ikan boulu tanpa tulang dan cepit ketam goreng.

Uniknya di Boombastic Homecook (Nasi Kuning Mama), masakan nasi kuning yang biasa dimakan pada waktu siang dijual sehingga malam.

Kongsi Siti Mariam, nasi kuningnya terkenal kerana sambal tumis merah mereka manis dan tidak pedas.

“Budak-budak pun boleh makan tanpa ibu bapa rasa risau anak mereka akan mengalami kepedasan.

“Kami turut sediakan sambal kicap untuk ayam dan sambal belacan bagi ikan,” ujarnya.

Selain daripada wantan buncit dan nasi kuning, restoran itu turut menyediakan aneka pilihan nasi ayam penyet, nasi kerabu dan nasi ayam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN