PETALING JAYA – Tular di media sosial sejak semalam video TikTok yang dikongsikan seorang pengguna memaparkan sebekas isi petai dengan anggaran berat 200 gram (g) didakwa dijual pada harga RM113.90 di sebuah pasar raya terkenal di ibu negara.
“Did i see wrongly? Petai so expensive now? Inflation? (Adakah saya salah tengok? Petai sangat mahal sekarang? Inflasi?,” tulis pengguna tersebut pada ruangan kapsyen videonya.
Dalam pada itu, pendedahan pengguna berkenaan ternyata mendapat perhatian ramai dan mereka mula berdebat isu harga tersebut yang dianggap terlalu mahal serta tidak masuk akal.
“Petai dalam tiga atau empat papan harga dia sekitar RM10, melampau betul isi petai sebekas kecil pun dijual harga selori,” kata Hairi.
“Mahal betul, memang harga macam ini kah? Saya pun dah lama tak beli petai. Terkejut tengok kalau memang dah mahal sampai macam ini, caj servis kupaskan rasanya mahal juga, separuh harga petai separuh lagi harga upah kupas,” komen Ayuni.
Bagaimanapun, melihat kepada keterangan yang diletakkan di bawah bekas petai tersebut, tertulis ‘Gred 1’ dari Malaysia atau Thailand, namun tiada jumlah berat di paparkan bagi mengesahkan harga berkenaan.
Hasil semakan Kosmo! di carian ‘google’ berkaitan harga bagi 200g isi petai ‘Gred 1’ adalah sekitar RM20 hingga RM30 sahaja.
Selain itu, ada juga pengguna beranggapan petai tersebut merupakan petai organik dan harganya sedikit mahal berbanding jenis biasa.
“Mungkin petai organik. Selalunya yang organik memang akan mahal dari jenis biasa,” teka pengguna tersebut.
‘Aku syak harga itu untuk berat 1 kilogram (kg). Tapi itulah pihak pasar raya kena pastikan keterangan harga jelas, pelekat harga pun biar letak ditemoat betul. Tapi kalau memang harga lebih RM100 untuk isi petai banyak itu ja, golongan T20 pun tak beli,” kata @monkeyjar. – KOSMO! ONLINE